Hubungi Saya
+601123052822 or Click Here
Article

Al-Fatihah buat abah….

 

 

Pernahkah anda ingat nama panggilan manja anda sewaktu kecil?

 

Jika saya, abah selalu memanggil saya dengan gelaran ‘boy’ dan ‘angah’.

 

‘Boy, meh sini’,….. dan ‘Asraff kecil’ yg berumur 8 tahun itupun datang kepada ayahnya, tahu bahawa sebentar lagi, jika dia mahukan coklat ‘din-dang’ 2 kotak sekalipun, pasti ditunaikan.

 

Saya tahu sangat, jika abah memanggil saya ‘boy’, itu tandanya dia sedang memanjakan anak keduanya yang paling nakal itu. Apabila saya semakin besar, saya merungut juga kepada mak :  ’Mak, malulah abah panggil angah ‘boy’ depan kawan-kawan tadi’…

Tapi saya tahu, bila abah memanggil saya ‘boy’, ia bermakna abah sedang memanjakan saya.

 

Namun, jika yang keluar dari mulutnya ‘angah, mari sini’, itu bermaksud, dia sedang memanggil anak keduanya dengan nada tegas, sesuai dengan abah yang kami kenali sebagai seorang yang amat tegas dalam mendidik kami.

 

Sumpah, saya lebih mengenali Abah sebagai seorang yang agak garang. Kata orang, jika ibu-bapa kita terlalu garang, bila besar nanti, kita hampir-hampir tiada memori indah yang mampu diingati bersama mereka.

 

Ketika saya remaja, saya hampir bersetuju dengan pendapat itu. Tetapi hari ini, ketika saya juga sudah bergelar ‘abah’, saya lihat ada kecelaruan dalam pendapat tersebut. Maka hari ini, saya masuk ke ruang yang paling jauh dalam minda bawah sedar, cuba menyelongkar dan mengingati kembali ‘memori-memori indah’, interaksi kasih-sayang abah dengan boy/angah : anak keduanya yang paling nakal…

 

Dan sekarang, saya kongsikannya bersama anda :

 

1) MEMORI INDAH 1 :

 

Ketika saya berusia 9 tahun, saya selalu dibuli dengan along ketika bermain badminton. Kadang-kadang saya menangis bila terkena ‘jumping smash’ along yang sengaja ditujukan kearah badan. Tetapi suatu hari, tangisan saya bertukar menjadi kegembiraan ‘yang sehingga sekarang senyumannya kekal dlm simpanan ingatan’…. :

 

Abah ketika itu baru pulang kerja, masih dengan baju kemeja lengan panjang putihnya, mengambil raket dari along, mengusap kepala saya dan berkata ‘Boy, jom main dengan abah yek’….

 

Saya tahu abah banyak kali sengaja ‘buat-buat kalah’ dalam permainannya pada petang itu. Selalunya dia bermain dengan tangan kiri (abah seorang kidal, sama macam saya), tetapi hari ini dia memegang raket dengan tangan kanan.

 

Sekarang, bila saya mengenang kembali memori itu, saya sedar, abah hanya mahu mengembalikan ‘senyuman dan gelak-tawa’ pada wajah anak keduanya ini.

 

 

2) MEMORI INDAH 2 :

 

Ketika saya di darjah 4-6, saya selalu mengikuti abah ke kampungnya di Rantau, Negeri Sembilan. Jika hujan lebat turun selepas berhari-hari kemarau panjang, saya dirumah sudah mula menunggu-nunggu ajakan abah ‘Angah, jom kito poi ‘menjaring ikan mabuk’ kek rantau’…

 

‘Port’ lubuk ikan kami ialah di lombong tinggal di Siliau, ladang kelapa sawit tinggal di Linggi atau di tepi-tepi terusan air berdekatan sungai Rantau. Selalunya, bila abah turun ke sungai memungut ikan yang terlekat di jaringnya, saya akan menunggu di atas, memungut ikan yang dilemparkannya.

 

Walaubagaimanapun, rezeki kami hari itu tidak begitu baik. ‘Ikan tak mabuklah kali ni ngah’, bilang abah. Saya mula bermuram durja. Hajat dihati ‘Pesta memungut ikan’ tidak kesampaian. ‘Nampaknya, malam ni takde peluang-lah nak makan ikan semilang masak lomak cili api’…

 

Yang mengharukan saya ialah, abah sedar dan arif sangat kesedihan anak keduanya itu. Dia tidak terus pulang, tetapi memandu kereta kami perlahan-lahan menyusuri terusan, cuba mencari ‘port’ baru. Bila terlihat sekumpulan orang ‘berpesta ikan’ di sebuah terusan, abah terus kata ‘Angah, jom kito cubo kek sini plak…nampak-eh ghamai oghang berkumpol kat sini…banyak ikan agak eh’…

 

Telahannya tepat. Petang itu, ‘angah yang nakal’ kembali ceria, memungut bermacam jenis ikan yang dilemparkan kepadanya, sementara abah, tersenyum puas memerhatikan gelagat anaknya. Bukan kerana ikan yang banyak, tetapi merasakan ‘janji’ untuk menggembirakan anak keduanya itu tercapai.

 

 

3) MEMORI INDAH 3:

 

Dalam satu peristiwa, sampai sekarang saya masih ingati ‘senyuman ceria penuh kepuasan hati’ dari muka abah. Petang itu, saya menghulurkan slip keputusan PMR kepadanya. Abah, yang sering muram mukanya akibat himpitan kesusahan hidup yang menimpa keluarga kami, terus tersenyum dengan senyuman yang paling bermakna.

 

Saya tak sangka, keputusan PMR itu menjadi ubat mengembalikan ‘kegembiraan’ pada wajah abah. Walaupun abah berkata kemudiannya ‘Angah, abah tak dapeklah tunaikan janji abah nak bayar sepuluh ringgit bagi setiap ‘A’ kat angah sekarang…’, Saya tak kisah sangat kerana saya lebih gembira melihat abah gembira bertemu rakan-rakannya di masjid, berkongsi perasaannya bersama mereka.

 

Bagi saya, hanya satu sahaja perasaan ketika itu; ‘Abah, kalau abah tak dapat bayar rm90 pun takpa…senyuman  abah tadi lebih berharga bagi angah dari kesemuanya…’.

 

 

4) MEMORI INDAH 4 :

 

Hari ini secara kebetulan, sebelum saya menulis entri ini, saya membaca Surah Al-Hasyr. Ketika sampai ayat 21-24, air mata saya menitis laju.

 

Ayat ‘Lau anzalna haaazal Quran….’ selalu abah baca bila menjadi imam solat subuh bersama kami. Ketika itu, saya tidak tahu apa kelebihan ayat ini. Saya sering saja ingin bertanya ‘Abah, kenapo abah sek baco ayat ni yo maso sembahyang?…ado fadhilat khusus ko yang Ustaz Redha(Allahyarham) cerito’?

 

Tetapi, pertanyaan itu hanya saya pendamkan dalam hati, mungkin takut dengan reaksi abah yang ‘semulajadi’ garang….

 

Yang saya tahu ialah, akibat berulang kali mendengar ayat tersebut, saya telah hafaz kesemuanya sebelum ‘start’ menghafaz Al-Quran di Maahad Ahmadi lagi.

 

 

===============

 

Kata orang, anak lelaki tak rapat dengan abah sebab banyak sangat memori negatif. Ya benar, saya juga begitu. Memori dimarahi, dipukul dengan rotan, malahan kesan libasan tali pinggang masih ada satu-dua parutnya di belakang saya.

 

Tetapi dengan pukulan itulah, anak keduanya ini menjadi ‘orang’ bukan sekadar manusia. Saya tahu, kemarahannya itu bukan bermaksud benci, tetapi sekadar luahan ‘sayang’ dan ‘caring’ agar anaknya yang kadang-kadang kurang mendengar kata itu tampil menjadi manusia berguna.

 

Mungkin ada yang tertanya ‘Ustaz, takkan itu sahaja memori positif yang ada?’. Tidak. Memori kenangan indah bersama abah bukan terhenti setakat itu, bahkan banyak lagi. Saya hanya kongsikan sedikit darinya alam blog ini sebagai bekal : jika saya teringat abah, saya masih boleh tersenyum bila membaca tulisan ini.

 

Ini kerana jika saya nak berjumpa abah bersembang minum pagi dengannya, harapan itu kini sudah tidak dapat ditunaikan. Abah baru sahaja meninggal dunia. Dia telah pergi…..pulang beristirehat bersama penciptanya 3 hari lepas, pada usia 63 tahun.

 

Saya tahu, saya tidak dapat bertemunya lagi. Tetapi memori diatas tetap kekal abadi menemani saya, dan saya berharap, segala bacaan Al-Quran, zikir dan doa saya menemani, menjaga dan membantu abah di alam seterusnya.

 

Saya juga berharap agar para pembaca ‘menyimpan kemas-kemas’ segala memori indah kalian bersama ayah kalian, kerana jika mereka sudah tiada, dengan memori itulah, mereka sentiasa ‘hidup’ bersama kita.

 

- Dengan memori inilah, hingga sekarang saya masih mengingati senyum-tawa abah.

 

- Dengan memori inilah, hingga saat ini saya masih dapat menghayati kehangatan usapan tangan abah di kepala ‘boy’ anak keduanya yang nakal ini…

 

- Dengan memori inilah, saya masih dapat membayangkan senyuman, suara kegembiraan dan limpahan kasih-sayang abah kepada angah….

 

Dan, jika anda rasa terlalu sukar untuk mengingati kembali ‘memori indah’ bersama ayah/abah/bapak anda, saya titipkan video ini. Mudah-mudahan ia membantu kita ‘kembali’ kepada ingatan-ingatan berharga itu…

 

 

 

 

==========

 

Saya memohon bacaan ‘Al-Fatihah’ penuh keikhlasan dari pembaca kalian untuk ditujukan Allahyarham AYOB BIN ZAINAL. Semoga usaha anda semua menjadi ‘obor’ membantu menyinari perjalanan baru ayah saya bertemu dengan Penciptanya… Al-Fatihah.

 

Terima kasih Abah.

 

Dari : Angah a.k.a Boy. (Ustaz Hj. Mohammad Asraff Ayob Al-Hafiz)

 

 

.

.

 

Share

Share On :
 

11 Responses so far.

  1. saripah ahmad says:

    alfatihah untuk ayah ustaz dan juga suami saya Hj Jaffar Abdullah yang pulang kerahmatullah pada petang Khamis 7 Rejab .

    Cuma yang masih brmain dikepala saya nak bertanya ustaz, adakah arwah ayah ustaz bertugas di Telekom Malaysia NS?

    Semuga roh mereka ditempatkan bersama para syuhada’ dan assolihin

    • Ustaz Asraff says:

      Ya, tapi dah lama pencen dah…. seingat sy, last allahyarham bertugas di telekom rasah agaknya….

  2. Romzi Hj Baki says:

    Assalammualaikum Tn Ustaz, Takziah buat ustaz sekeluarga daripada saya serta keluarga di Kota Kinabalu,Sabah.Semoga Ayahanda ustaz yg dikasihi ditempatkan dikalangan orang-orang yg beriman dan org-org sholeh. Saya telah kehilangan ayahanda saya pada tahun 2002 dan ingatan/memori bersama beliau masih terpahat indah dalam ingatan saya. kehilangan org yg dikasihi mmg berat tapi bersabar saja lah.

  3. Dayang Izawati Abang Masli says:

    Assalammualaikum ustaz…salam takziah drpd sy yg juga bergelar angh..sy juga baru shj kehilangan ayh tercinta pd 23/5/11..sy amt terkilan kerana xdpt bertemu arwah pd saat akhirnya ker berada jauh d perantauan..bak kata ustaz, yg tinggal sekrang hanyalah doa, zikir & bacaan Al-Quran drpd anknyer buat ayh di alam seterusnyer…

  4. wazy says:

    Assalamualaikum ustaz
    salam takziah dari saya,semoga arwah ayah ustaz ditempatkan dikalangan orang-orang yangg beriman dan orang-orang yang soleh

  5. k. nida says:

    As salam Ust. Asraff,

    membaca kenangan asraff dan almarhum Pak Tam membuatkan akak tersedu hiba. Sayang dan rindu pada arwah abah akak tak pernah padam w/pun dah 2 tahun beliau pegi menemui Ilahi. Semoga kita sama2 tabah dan mengharapkan kehilangan abah kita membawa kita kepada sebuah dimensi kehidupan yg baru. cthnya atas dasar sayang pada arwah abah akak telah menyebabkan akak rajin mengaji dan solat sunat. lama-kelamaan ia menjadi satu rutin dalam kehidupan akak demi mengharapkan keredhaan Allah.

    • Ustaz Asraff says:

      Wsalam kak

      ya benar, sy hanya berharap, dengan doa dan zikir, ketersambungan antara kita dgn yg tersayang akan tetap kekal walaupun mereka sudah berpindah ke alam lain….kita sama2 doakan mereka juga bahagia di sana..Amin

  6. Ain Lam Mim says:

    salam ust yg mulia,
    alhamdulillah, syukran jazilan atas ingatan bermakna utk direnungkan bersama. moga dgn artikel ini akan lebih mengingatkan kita dgn seorang yg bernama bapa, ayah, abah, daddy dll, Insya Allah. kadang2, kita terlupa @ terleka dgn kehadiran insan yg tak kurang jasanya ini kpd kita selain emak kita…

    • Ustaz Asraff says:

      terima kasih atas sokongan….moga semua manfaat ini akan berterusan kepada semua yg membaca blog ini.

  7. As Salam Ust….Al Fatihah saya hadiahkan untuk roh arwah En Ayob (Ayahanda Ust)…Saya anggap arwah ini sebagai abang/sahabat/kawan saya…..Saya bekerja di Telekom KL sama dengan beliau..dan amat mengenali hati budi beliau…beliau seorang periang,banyak bercerita dan mengajar saya tentang agama/ilmu akhirat dan selalu bertukar2 pendapat dan pandangan…Kali terakhir saya berjumpa arwah pada
    tahun lepas di Hospital Mawar kerana ibu saya pun membuat rawatan di hospital tersebut…..kami bercerita panjang…kebetulan saya pun berasal dari K.Pilah so kami bersembang loghat NS bila bercerita….Umur saya pun dah mencecah 1/2 abad pada Jun 2011 lepas…Berapa umur arwah ayh ust sekarang?…Kenangan dan gelak ketawa bersama dgn arwah masih dalam ingatan saya…Semuga ROH arwah ditempatkan bersama-sama roh org2 beriman…Amin.

    • Ustaz Asraff says:

      Wsalam En Azizul…berbanyak terima kasih atas doa yg tuan kirimkan kpd arwah ayah sy…beliau meninggal pd umur 63 tahun. Sy rasa tuan adalah rakan lama abah sbb rasanya dah agak lama juga abah bertukar kerja ke seremban. Sy masih ingat, masa kecil2 dulu pagi2 lepas subuh kami akan hantar abah ke stesen bas seremban utk pergi kerja K.L…. moga usaha abah mencari rezki utk kami diberi ganjaran besar oleh Allah, Amin