Hubungi Saya
+601123052822 or Click Here
Article

TIPS HAFAZAN ADVANCE 2 : INGIN SERTAI PERLUMBAAN ‘MARATHON 30’?

 

 

Bagaimana hendak menghafaz 30 juzuk Al-Quran dengan menggunakan Kaedah Jibril?

 

Itu antara soalan paling popular ditanya dalam setiap seminar Kaedah Jibril. Saya sengaja mengkhususkan bab ini untuk menjelaskannya.

 

Memang bagi kebanyakan peserta, secara idealnya 10 surah yang dicadangkan dalam Kaedah Jibril memang agak mudah dihafaz. Paling tidak pun, setelah dicampur dengan ‘cuti motivasi menurun’, cuti m.c sakit, waktu holiday dan bermacam-macam jenis ‘cuti kecemasan’ lain, dalam masa setahun dua selesailah kesemuanya.

 

Tetapi bagaimana pula dengan mereka yang menanam impian menggunung ingin ‘menakluki’ keseluruhan 30 Juz Al-Quran?

 

Dari sinilah cerita kita bermula.

 

 

Saya akan kongsikan dahulu pengalaman salah seorang pengguna terawal Kaedah Jibril – makcik berusia 68 tahun yang diceritakan kehebatannya dalam bab ‘Semuanya indah jika..’. Sebenarnya, perbualan saya dengan beliau masih ada sambungannya yang lebih menarik…

 

‘Ustaz, sekarang, hari-hari saya terasa amat bermakna. Best-lah menghafaz Al-Quran rupanya. 10 Surah tu dah habis saya hafaz ustaz…. La ni saya cadang nak upgrade surah lain pula lah…. Apa yang perlu saya hafaz sekarang?’

 

‘Mudah sahaja makcik…. Cuba hafaz Juz 30 dan juz 29 dahulu…..’ saya mencadangkan, dan selepas beberapa soal-jawab lain, kami menghabiskan perbualan telefon.

 

Selang beberapa bulan, makcik tersebut menelefon kembali…

 

‘Ustaz, Alhamdulillah, makcik baru je habis hafaz juz 30 dan 29. Baru pagi tadi selesai khatamkan Surah Mursalaat (Surah terakhir dalam Juz 29)… Susah juga nak habiskan surah tu…berbelit-belit ayatnya….’ Makcik tersebut menerangkan dengan suara yang penuh bersemangat, terasa kegembiraannya terpancar melalui suaranya itu….

 

‘Wah, hebat betul makcik ye! Laju betul habiskan silibus hafazan….Jadi sekarang, o.k tak kalau saya minta makcik menghafaz keseluruhan Al-Quran pula? Kali ini, cuba start dari Juz 1, Boleh kan?

 

‘Beres ustaz… Insyaallah saya akan cuba. Ustaz jangan lupa doakan saya ye…’ Makcik tersebut memberi jaminan.

 

‘Doa kejayaan saya akan sentiasa bersama makcik….’ Saya menghabiskan perbualan.

 

Sampai sekarang, makcik tersebut masih belum menelefon saya.

 

Saya tidak tahu adakah umur makcik tersebut masih dipanjangkan Tuhan.  Semoga Allah mengurniakan keberkatan & keampunan kepada insan secekal beliau. Tetapi saya yakin jika beliau masih hidup, sudah tentu beliau kekal bersemangat meneruskan rentak kesungguhan yang sama : menghafaz Al-Quran setiap hari tanpa mempedulikan usianya yang berumur, atau kemampuan ingatannya yang mungkin berkurangan pada pandangan orang lain.

 

Contoh kegigihan ‘luarbiasa’ bagi ‘orang biasa’ seperti beliau.

 

Mengambil inspirasi makcik itulah, saya cuba menyusun jadual hafazan 30 juz berdasarkan teknik hafazan Kaedah Jibril yang digelar sebagai ‘Marathon 30’.

 

 

SEBELUM TERJUN KE PERLUMBAAN ‘MARATHON 30’ JUZ, ANDA PERLU….

 

Untuk mencapai kejayaan, saya amat percaya kepada 3 faktor berikut :

 

1.                Niat & doa penuh ikhlas

2.                Usaha & disiplin

3.                Teknik & strategi yang berkesan.

 

Dalam Marathon 30, anda perlukan ketiga-tiganya.

 

Disebabkan peranan nombor 1 dan 2 bergantung sepenuhnya pada anda, maka saya cuba berkongsi pengalaman melalui peranan ketiga, iaitu tips dan teknik berkesan untuk menjayakannya. Dalam ‘Marathon 30’, kita tetap jadikan Kaedah Jibril sebagai panduan asas. Cuma kali ini, sedikit pengubahsuaian akan dilakukan untuk mencapai target yang lebih baik.

 

Pertama :

 

Dengan mengambilkira anda berjaya menghabiskan 10 surah popular, sebelum terus ‘terjun’ menghafaz keseluruhan Al-Quran, saya cadangkan anda menghafaz Juz 29 dan 30 dahulu.

 

Mungkin ada yang bercadang : ‘Tapi ustaz, saya bukannya macam makcik berusia 68 tahun itu….rasanya kemampuan saya lebih baik agaknya… bolehkah jika saya terus mula menghafaz dari juz satu?

 

Mohon maaf, kali ini saya tidak dapat membenarkannya. Bukannya tidak mempercayai kemampuan anda, jauh sekali berniat menyamakan anda dengan makcik itu. Tetapi, ada beberapa sebab rasional mengapa saya cadangkan hafazan Juz 29 & 30 sebagai ‘langkah kedua’ dahulu.

 

Alasan paling utama ialah, jarak yang dilalui dalam ‘Marathon 30’ berbeza dengan kadar 10 surah sebelum ini. Dalam ertikata lain, ia adalah sebuah perjalanan yang panjang. Satu usaha menghafaz yang lama & berterusan. Jika menghafaz 10 surah umpama perlumbaan lari 100 meter, hafaz juz 29 & 30 seperti larian 400 meter, menghafaz keseluruhan Al-Quran pula diibaratkan laksana marathon sejauh 30 kilometer!

 

Maka tidak boleh tidak, anda perlu benar-benar ‘fit’ untuk itu.

 

Oleh itu, menghafaz juz 29 & 30 menyediakan platform ‘pemanas badan’ terbaik untuk anda lebih cergas menghadapi ‘marathon 30’. Lagipun, surah-surah pendek tetapi agak berliku seperti Surah Mutoffifin, Haqqoh, Infitoor,Takwir dan seumpama dengannya menyediakan peluang terbaik untuk anda ‘berlatih’. Melaluinya, anda akan belajar mengecam ayat mutasyabihat, ayat berirama sama serta mengenali perkataan yang bukan setakat sukar disebut, malahan lebih sukar diingati.

 

Tambahan pula, bak gurauan ustaz saya, menghafaz surah pendek laksana ‘enjin turbo’ yang memberikan anda keyakinan untuk pergi lebih jauh. Ia bakal menyediakan ketenangan psikologi dalam fikiran dengan menjelmakan pemikiran positif ‘Wah, pendek sahaja surah ini… tentu ia agak mudah dihafaz…’.

 

Lagipun, jika kita terus mula menghafaz dari awal Al-Quran, saya khuatir, akan terjadi ‘pertembungan besar’ antara semangat berkobar-kobar dengan kemampuan otak. Semangat mewakili dunia ideal, sementara kemampuan otak pula mewakili realiti.  Perkara malangnya ialah, kita selalu menuruti ‘bisikan palsu’ semangat berkobar yang tidak berpijak pada bumi nyata dengan janji manisnya – saya yakin boleh hafaz 1 muka sehari secara berterusan!.  Sedangkan, kemampuan otak yang lebih praktikal pula berkata sebaliknya – Janganlah buat perkara terlalu ‘impossible’…. Saya masih tak mampu, lagipun waktu awak bukannya ada!

 

Cadangan saya, ikutilah saranan otak yang lebih realistik untuk mengelakkan malang bertimpa-timpa. Jika kita terus berkeras menuruti  cadangan ‘semangat berkobar’, yakinlah pada penghujungnya, akan terjadilah masalah motivasi menurun, kata orang awam, atau ‘burnout’ kata pakar psikologi. Sama seperti perlumbaan marathon yang disertai tanpa memanaskan badan, anda tentu tahu apa pengakhirannya : larian terpaksa dihentikan separuh jalan kerana sengal badan di sana-sini.

 

Oleh itu, kita tidak perlu terlalu tergesa-gesa. Tidak ada apa yang perlu dikejarkan. Lagipun, anda adalah ‘pelajar tahfiz’ secara ‘part-time’ yang menggunakan teknik D.I.Y (do-it-yourself), bukannya pelajar maahad tahfiz yang menghafaz secara ‘full time’, siap dengan pasukan pemantau berdedikasi – para ustaz, kelas tasmi’ sistematik, peperiksaan bulanan dan kadangkala – hukuman rotan!

 

 

AGAR HAFAZAN JUZ 29 & 30 BENAR-BENAR BERFUNGSI SEBAGAI ‘PEMANAS BADAN’.

 

Agar sesi ‘memanas badan’ berfungsi sepenuhnya , saya mencadangkan beberapa ‘teknik tambahan’ dalam ‘perlumbaan 400 meter’ hafazan juz 29 & 30 iaitu :

 

1 – Jika 10 surah popular dihafaz secara 3 baris sehari, kali ini juz 29 & 30 dihafaz secara 5 baris sehari.

2 – Jika anda merasa ‘badan sudah cukup panas’, anda boleh sahaja mempertingkatkan jumlah hafazan harian dari 5 baris kepada setengah muka sehari.

 

Cuma saya sarankan, sentiasa bersikap fleksibel dalam perkara ini. Jika anda merasa ‘mencungap’ menghafaz setengah muka pada surah sukar seperti Surah Takwir, kembali kepada rutin asal iaitu 5 baris sehari.

 

Pokok-pangkalnya, tanyalah ‘kemampuan sebenar’ di fikiran. Renung dan tanya. Bagi saya, jangan sampai tersilap langkah menurut saranan ‘semangat berkobar’ kerana jika itu berlaku, anda mungkin perlukan seribu ‘seminar motivasi’ sebagai doktor pakar untuk memulihkan keyakinan menghafaz yang ‘patah hati’ akibat tersalah ambil pil nasihat! 

 

 

BAIKLAH, INI JADUAL ‘MARATHON 30’ ANDA :

 

Sebagai panduan asas, jadual hafazan 30 juz ‘Marathon 30’ memiliki ciri-ciri khusus iaitu :  

 

- Ia disusun berdasarkan mukasurat.

- ia disusun berdasarkan juzuk, bukannya surah.

- ia disusun berdasarkan kiraan 7 hari seminggu dan 48 minggu setahun.

 

Kedua, sesuai dengan gelarannya iaitu ‘marathon’, anda tidak perlu ‘berlari’ setiap masa.  Jadual ini disusun dengan menekankan elemen ‘hafaz tapi rileks’. Rutinnya dilonggarkan semaksimum mungkin agar anda memiliki ruang yang cukup untuk bernafas lebih tenang dan merasa lebih fleksibel. Sama seperti marathon, anda boleh berlari, berjalan, minum air bahkan berhenti sebentar melepaskan penat pun tiada masalah.

 

 

1 – PENCAPAIAN HARIAN DAN MINGGUAN

 

Jumlah hafazan  : sehari setengah mukasurat

Tempoh : Seminggu

Pencapaian : 2 mukasurat setengah dalam 5 hari

 

PENERANGAN

 

1.         Marathon 30 adalah ‘larian menghafaz’ tahap ‘pro’, bukannya amatur seperti dahulu. Oleh itu, jumlah 3 baris tidak sesuai untuk anda kekalkan di sini. Walau bagaimanapun, ‘roh’ kaedahjibril iaitu ‘menghafaz secara santai’ tetap dikekalkan. Mengambilkira semuka Al-Quran terdiri dari 15 baris, anda hanya dikehendaki menghafaz setengah muka iaitu 7 atau 8 baris sahaja sehari.

 

2.         Setengah mukasurat sehari akan kekal sebagai kadar hafazan harian hingga seluruh 30 juzu’ habis dihafaz. Cuma, terpulang kepada anda untuk menentukan harinya. Jika hari isnin dimulakan dengan 7 baris hafazan, maka anda perlu habiskan baki 8 baris pada hari selasa. Begitulah seterusnya. Yang penting, setiap 2 hari, 1 mukasurat akan dihafaz.

 

3.         Disebabkan jadual ini disusun berlandaskan prinsip asas Kaedah Jibril, maka kita tetap berpandukan kepadanya dalam teknik lain. Contohnya, dalam seminggu anda hanya menggunakan 5 hari bekerja untuk menghafaz. Baki 2 hari hujung minggu diperuntukkan untuk mengulang semula hafazan sepanjang 5 hari sebelumnya agar ia lebih kuat ‘melekat’ dalam ingatan.

 

4.         Begitu juga, cara mengingati setengah muka tersebut masih sama iaitu 30 minit sehari dan 3 kali ulangan setiap waktu solat.

 

 

2 – PENCAPAIAN ANDA DALAM TEMPOH 2  MINGGU

 

Tempoh : 2 minggu

Pencapaian : 5 mukasurat hafazan dalam 10 hari

 

PENERANGAN

 

1.         Berdasarkan kiraan 1 Juzuk mengandungi 20 mukasurat, maka pada tahap ini, pencapaian anda menyamai suku juzu’ (5 muka). 

 

2.         Walaupun jumlah hafazan agak sedikit, tetapi anda memiliki waktu yang mencukupi untuk ‘mematrikan’nya dalam ingatan jangka panjang. Ingat, hafazan tidak bermanfaat jika ia sekadar berkumpul di ingatan jangka pendek sahaja. Oleh itu, kita tidak boleh berpegang pada teknik yang InsyaAllah gagal iaitu ‘hafaz banyak tapi cepat lupa’ seperti dahulu. Kali ini, walaupun jumlahnya hafazannya agak sedikit jika hendak dibandingkan dengan masa yang diambil, tetapi kualitinya berbeza : ia benar-benar terpahat kukuh dalam ingatan.

 

 

3 – PENCAPAIAN ANDA DALAM TEMPOH 2  BULAN

 

Tempoh :  8 minggu (2 bulan).

Pencapaian : 20 mukasurat hafazan (bersamaan 1 juz)

 

 

PENERANGAN

 

1.         Seminggu ada 7 hari. Dengan menganggap 5 hari hafazan dan 2 hari ulangan (serta rehat), maka anda telah menghafaz 20 mukasurat dalam masa 56 hari.  Ia juga bermakna anda mengambil masa 8 minggu (sama dengan 2 bulan) untuk berjaya menghafaz 1 juz.

 

2.         1 juz dalam tempoh 2 bulan adalah satu pencapaian sangat besar buat pelajar ‘half-time’ seperti anda. Nasihat saya, jangan terus menghafaz ke juzuk seterusnya. Rehat sebentar. Hargai segala penat-lelah menghafaz 1 juz ini dengan menambah 2 minggu berikutnya sebagai waktu tambahan untuk benar-benar hadamkan juz yang baru dihafaz ke dalam ingatan jangka panjang.

 

3.         Tempoh 2 minggu ini juga boleh digunakan sebagai ‘masa tambahan’ untuk memperbaiki hafazan bagi hari yang kurang menjadi. Ini kerana menurut pengalaman, memang akan terjadi saat di mana perjalanan hafazan kita tidaklah selancar seperti diharapkan sepanjang 8 minggu tersebut. Akan ada waktunya kita berhadapan ayat terlalu sukar dihafaz, detik ‘patah semangat’, hari ‘demam mengejut’ serta hari ‘motivasi menurun’.

 

4.         Kesimpulannya, masa yang diambil untuk menghafaz 1 juz termasuk tempoh mengulang ialah 10 minggu (8 minggu hafazan + 2 minggu ulangan).

 

 

4 – PENCAPAIAN ANDA DALAM TEMPOH SETAHUN

 

Tempoh : 48 minggu (bersamaan dengan setahun)

Pencapaian : 4 juz hafazan

 

PENERANGAN

 

1.         Jika semuanya berjalan lancar, InsyaAllah, dalam setahun, anda bakal menghafaz 4 juz.

 

2.         Tetapi jika diperhatikan betul-betul, setahun ada 48 minggu, sedangkan anda hanya mengambil masa 40 minggu untuk menghafaz 4 juz  (10 minggu x 4 juz : 40 minggu). Timbul persoalan, ke manakah menghilangnya baki lagi 8 minggu? Adakah ia dikira sebagai cuti tahunan?

 

3.         Jawapannya ialah : Ya, tepat sekali. Dalam jadual ‘Marathon 30’, anda diperuntukkan ‘cuti tahunan’ selama 8 minggu. Tetapi jangan cepat tersenyum dahulu. Ia tidak bermakna anda boleh bersantai tepi pantai tanpa langsung mengulang 4 juz tersebut. Sekali lagi, 8 minggu ini berperanan sebagai ‘waktu tambahan tahunan’ untuk menggantikan hari-hari malas, minggu jemputan kenduri kahwin, demam, ayat sukar, pening kepala dan lain-lain.

 

4.         Jika kesemua 40 minggu hafazan anda bejalan lancar, maka 8 minggu ini bolehlah dijadikan sebagai ‘Minggu mengulang Mega!’ – waktu terbaik untuk anda lakukan satu perkara sahaja terhadap hafazan 4 juz tersebut iaitu : mengulang, mengulang, mengulang & mengulang!

 

 

5 – PENCAPAIAN ANDA DALAM TEMPOH 7 TAHUN

 

Tempoh :  7 tahun

Pencapaian : 30 juz

 

PENERANGAN

 

1.         Mengambil kira 2 perkara iaitu :

 

1) anda tidak menghadapi masalah habiskan silibus 4 juz setahun, dan

2) anda telah pun menghafaz juz 29 & 30 seperti yang dicadangkan sebelum ini,

 

InsyaAllah, anda bakal bergelar ‘Al-hafiz’ dalam tempoh 7 TAHUN.

 

2.         ‘7 tahun…agak lama juga waktu diperlukan untuk bergelar Al-hafiz….’.  Mungkin ada yang terfikir sebegitu. Memang kalau hendak diikutkan, tempoh 7 tahun boleh dikatakan agak panjang. Sama tempohnya jika anda kembali belajar tingkatan 1 hingga tingkatan 6 atas. Tetapi, janganlah cepat ‘lemah semangat’ dengan angka 7 itu. Cuba lihat dari sudut berikut :

 

- tempoh itu sama panjangnya dengan waktu saya belajar menjadi Al-Hafiz secara ‘Full-Time’ di Maahad Ahmadi suatu ketika dahulu.

- ia juga lebih kurang sama tempohnya dengan waktu yang diambil untuk anda habiskan Masters dan Ph.D.

- ia tidaklah terlalu panjang, kerana jika hafazan dimulakan ketika anak anda baru lahir, anda bakal bergelar Al-Hafiz ketika si comel itu baru habis darjah satu!

- Jika cucu anda baru mendaftar di tadika pula, datuk/neneknya akan bergelar ‘Al-hafiz’ ketika cucu kesayangan sedang menanti keputusan UPSR darjah 6.

- Ini yang paling utama : kalaulah umur kita sama panjangnya dengan umur Rasulullah S.A.W iaitu 63 tahun, kita hanya mengambil 11.1% sahaja dari jumlah umur untuk menghafaz Al-Quran.

 

3.         Hmmm…. sekali imbas, tak terjejas pun baki umur kita untuk perkara lain. Lagipun, silap haribulan, tempoh 11.1% inilah yang bakal menjadi penentu untuk kita mendapat ‘Tiket first-class syurga’ atau tidak.  Berbaloi juga segala penat-lelah itu jika ia berjaya menjamin tempat kita di syurga yang ‘sama level’ dengan para Anbiya, Auliya dan para solihin suatu hari nanti! ……fikir-fikirkan…..

 

 

6 – JADUAL MENGULANG SETELAH BERGELAR AL-HAFIZ. : TAHAP 1

 

Jumlah ulangan  : 5 juz

Tempoh : 4 minggu (2 minggu ulangan 5 juz, 2 minggu lagi ulangan spesifik)

Objektif : memperkuatkan ingatan disamping mengenalpasti titik hafazan terlemah.

 

PENERANGAN

 

1.         Alhamdulillah dan sekalung tahniah!. Akhirnya anda berjaya menamatkan ‘marathon 30’ dengan jayanya. Tetapi, jangan cepat meraikannya dahulu dengan bersenang-lenang kerana masih ada ‘marathon’ lain yang lebih panjang. Kali ini, anda sampai ke ‘next stage’ : tahap yang dikenali sebagai ‘sambutan mengekalkan kejayaan’.

 

2.         Jika direnungkan, ada benarnya kata cerdik pandai :  menguruskan kejayaan jauh lebih sukar daripada mendapatkannya. Itulah tahap yang sedang kita lalui sekarang iaitu bagaimanakah cara mengekalkan kejayaan menghafaz 30 juz supaya ia tetap diingati hingga akhir hayat. Disebabkan teknik menghafaz D.I.Y ini tiada pantauan dan perlukan disiplin diri yang tinggi, maka saya akan cuba sediakan 1 jadual ulangan yang lebih santai dan ya, amat fleksibel.

 

3.         Pertamanya kita akan membahagikan hafazan 30 juz itu kepada 6 bahagian, iaitu 5 juz setiap bahagian. Ulangi 5 juz pertama (contohnya juz 1 -5 ) setiap hari selama 2 minggu. Pastikan dalam tempoh ini, ia benar-benar melekat di ingatan. Tetapi menurut pengalaman saya, realitinya tidak semudah itu. Sudah pasti, ada hari di mana anda akan sedikit mengeluh ‘Huh… susah betul nak ‘cair’kan juz 4 ni…banyak sangat ayat yang lebih kurang sama!’

 

4.         Ahaaa….. sebenarnya itulah tujuan utama ulangan 2 minggu ini. Ia bukannya waktu untuk hafazan 5 juz anda ‘benar-benar cair’, tetapi lebih kepada waktu untuk mengenalpasti ‘titik kelemahan utama’. Ketika inilah anda baru tersedar ‘Oh, hafazan saya agak goyah pada mukasurat sekian…..’ atau  ‘MasyaAllah! nampak saja maqra’  6  juz 3 ini pendek, tetapi berpeluh juga nak ingatkan!’

 

5.         Maka cadangan saya, kenalpasti mukasurat/maqra/juz terlemah tersebut, dan ambil masa 2 minggu lagi untuk anda ‘asah’ betul-betul kelemahan tersebut agar ia terakam dalam fikiran dengan sempurna. Kalau boleh setiap hari, ulangi juz terlemah itu sekurang-kurangnya 3 kali sehari. Walaupun tampak agak ekstrem tetapi tujuannya jelas : biarlah selepas ini, ia menjadi ‘juz yang paling saya ingati dalam Al-Quran’.

 

6.         Mungkin ada yang agak risau ‘ustaz, kalau begini berterusan, apa yang bakal terjadi kepada baki 25 juz yg baru saya hafaz dengan penuh susah payah itu? takut-takut hilang bak debu berterbangan nanti kalau dibiar tak diulang!

 

7.         Jangan cepat berkeluh-kesah. Saya sudah fikirkan strategi terbaik untuk anda. Teruskan sahaja strategi sama pada baki 25 juz. Dengan mengambil masa 4 minggu untuk ulangan 5 juz, anda hanya mengambil masa 6 bulan untuk mengulang 30 juz menurut teknik di atas. Selepas itu, bolehlah anda bergerak ke tahap kedua di bawah.

 

 

7 – JADUAL MENGULANG SETELAH BERGELAR AL-HAFIZ. : TAHAP 2

 

Jumlah ulangan  : 3 juz

Tempoh : setiap hari

Pencapaian : 3 kali khatam Al-Quran dalam masa sebulan.

Pencapaian bonus : 36 kali khatam Al-Quran dalam setahun.

 

PENERANGAN

 

1.         Mengambil kira tahap ingatan 30 juz anda sudah agak stabil, kini tibalah masanya untuk kita masuk ke tahap yang digelar ‘jogging 3 kilometer setiap hari’.

 

2.         Apa maknanya gelaran itu kepada hafazan anda? Begini. Sama fungsinya seperti jogging, ia berperanan mengekalkan ‘tahap kesihatan hafazan’ supaya kekal dan konsisten dalam ingatan. Oleh itu, usaha mengulang perlu dilakukan berterusan supaya gelaran ‘Al-Hafiz’ benar-benar bermakna : Seorang yang ingat 100 peratus 30 juz Al-Quran seumur hidup.

 

3.         Teknik santainya begini : anda perlu konsistenkan ulangan 3 juz sehari secara berterusan setiap hari. Bila ia berkekalan begitu, anda akan mendapati, setiap 10 hari, anda akan mengkhatamkan 1 pusingan 30 juz Al-Quran. Agak menarik bukan?

 

4.         Itu baru mukaddimah berita gembiranya. Cuba lihat perkara yang lebih istimewa : Jika semuanya berjalan lancar, anda bakal khatam 3 kali Al-Quran dalam masa sebulan, atau 36 kali khatam Al-Quran dalam masa setahun! – perkara yang tidak mungkin anda fikirkan berlaku dalam hidup sebelum membaca bab ini!.

 

 

SEBELUM BERMULA, 1 LAGI PETUA : JIKA NAFAS TERASA SESAK, LONGGARKAN IKATAN TALI PINGGANG…….

 

 

‘Baguslah jadual yang ustaz susun ni….cocok betul dengan waktu kerja pejabat saya…bolehlah slow-slow jadi Al-hafiz lepas ni..’.

 

Hmm.. nanti dulu, jangan cepat terlalu ceria. Mungkin benar telahan itu, tetapi tidak semestinya tepat. Sebabnya, sudah menjadi sifat ‘jadual’, ia sempurna ketika disusun, tetapi berubah-ubah bila tiba waktu perlaksanaannya . Begitulah juga dengan cadangan di atas. Walaupun ia kelihatan ‘amat santai’ dan ‘selari dengan waktu harian’, ia tetap terbuka untuk disesuaikan dengan keperluan anda.

 

Alasannya ialah, jadual disusun berdasarkan dunia ideal, sementara kita, ‘sang penyusun sekaligus pelaksana jadual’ pula hidup dalam dunia sebenar. Oleh itu, kita perlu sentiasa bersikap pragmatik dan praktikal dalam hal ini. Jadual yang saya kemukakan masih terbuka untuk diubah serta ditokok-tambah, samada diketatkan sedikit masa serta jumlah hafazannya, ataupun menambah pilihan yang lebih disukai seperti dilonggarkan sedikit waktunya. Andai ia tidak mencukupi, anda bebas sahaja untuk menekan butang ‘delete’, ‘pause’ malah hingga ke ‘shut down’ sekalipun.

 

Pokok-pangkalnya, terpulang kepada anda untuk menyesuaikannya dengan situasi harian.

 

Saya menyarankan demikian kerana tidak mahu anda terlalu terikat dengannya. Lagipun, dengan menganggap ‘jadual di atas sangat sempurna dan tidak perlu tokok-tambah lagi’, ia secara tidak langsung menjadikan waktu anda seolah dipakejkan, agak robotik & terasa diprogramkan. Disebabkan itulah, disamping susunan jadual terbaik, kita perlu bersedia untuk mengambil kira unsur manusiawi yang wujud seperti suasana ‘tidak dijangka’, ‘waktu kecemasan’ dan tidak lupa, kemampuan istimewa anda :

 

‘..rasanya saya boleh menghafaz lebih dari setengah muka sehari…’.

 

Jadi, bersedialah untuk ‘melonggar atau mengetatkan tali pinggang’ jadual marathon 30.  Cuma, sebelum anda mulakan proses ‘menokok-tambah’, pertimbangkan satu saranan terakhir saya : pastikan anda setkan ‘tanda aras kecemasan’ yang langsung tidak boleh dikompromi dalam proses pengubahsuaian jadual.

 

‘…Tanda aras kecemasan? macam lampu merah ke ustaz??..’

 

Ya. Lebih kurang begitulah. Fungsinya begini : jika anda bercadang untuk melonggarkan jadual, pastikan anda setkan tempoh akhir hafazan, misalnya : ‘tidak peduli bagaimana hebat pun ribut melanda, saya WAJIB habiskan hafazan 30 juz dalam tempoh 10 tahun’.

 

10 tahun. Itulah tanda aras kecemasan terakhir. Ia tidak boleh dilanggar, tidak boleh dianjakkan atau dialihkan ke hadapan. Jika tidak, cita-cita anda akan kembali kepada asal : angan-angan menghafaz Al-Quran yang sekadar tergantung di awangan.

 

 

YANG PALING PENTING…..

 

Jika jadual berstrategi diumpamakan sebagai ‘spark plug’ kereta, dua faktor ini pula lebih besar peranannya untuk melancarkan ‘enjin’ hafazan anda.

 

1.         Niat & doa penuh ikhlas

2.         Usaha & disiplin

 

Niat penuh keikhlasan serta doa yang luhur. Dua perkara ini benar-benar perlu diluruskan orbitnya dahulu. Niat menghafaz biarlah kerana mencari redha Allah, bukannya kerana ‘ingin menambah gelaran Al-Hafiz di hujung nama’,  tidak juga ‘bolehlah jadi imam tarawikh 30 juz nanti..’.

 

Persoalan niat bukannya kecil kerana melaluinya sahaja, Allah akan menilai jerih-payah dan kerja keras menghafaz anda, samada dikira sebagai ‘keringat pahala’ atau ‘keringat sia-sia’. Bagi saya, biarlah kita duduk bertafakkur seminggu-dua merenung betul-betul soal ini dari terus bersemangat menghafaz esok, tetapi usaha itu tidak ‘dipandang langsung’ oleh malaikat pencatat kebaikan kerana tiada nilainya disisi Allah.

 

Andai niat sudah betul pada ‘sirotol mustaqim’nya, jangan lupa untuk ‘membungkusnya’ dengan doa-doa luhur sebagai ‘stering’ penggerak momentumnya. Mungkin ada yang bilang ‘ustaz, dah panjang doa yang saya baca, tapi surah Sajadah tetap juga lupa…. di mana silapnya ya?…’

 

Silapnya bukan pada doa ‘panjang’ atau ‘pendek’, tetapi persepsi kita terhadap doa, samada menjadikannya sebagai ‘doa rasmi’ atau ‘doa kekuatan diri’. Beza antara 2 persepsi ini amat jauh, sama jauhnya antara langit dengan bumi. ‘Doa rasmi’ dibaca  ‘sebab ustaz saya suruh baca doa sebelum menghafaz’, sementara ‘doa kekuatan diri’ dibaca dengan kefahaman ‘Ya Allah, doa ini dipanjatkan kerana hambaMu ini sedar, terasa sangat diri ini lemah, daif dan tidak bermaya tanpa bantuan kekuatanMu’.

 

Itu 2 faktor utama yang perlu digenggam erat-erat sebagai azimat. Faktor seterusnya yang tidak kurang penting pula ialah – usaha & disiplin berterusan.

 

‘Haa… faktor inilah yang paling susah saya nak penuhi ustaz’. Teringat saya kepada alasan seorang anak murid saya dahulu bila ditanyakan masalah ketidak-konsistenan hafazannya.

 

Benar, perkataan ‘disiplin’ memang sangat tidak popular di kalangan kita. Silap-silap, mendengarnya sahaja boleh menyebabkan kita sakit perut sehari suntuk. Tetapi, andai benar anda memasang cita-cita menggapai langit, tidak boleh tidak, disiplin memang diperlukan untuk hafazan yang lebih stabil.

 

Jangan terlalu risau, kerana semua ‘tools’ berguna sudah dalam genggaman untuk anda mulakan hafazan dengan ‘langkah kanan’. Cuma uruskan disiplin diri dengan betul dan saya yakin, ungkapan ‘setengah jalan’, ‘separuh hati’ atau ‘semangat separuh masak’ dalam marathon 30 tidak akan anda temukan sepanjang jalan. Jika ada pun, hapuskannya dengan kata-kata penuh inspirasi ini :

 

‘tidak kisahlah bagaimana pun hari-hari mendatang, saya wajib teruskan hafazan dengan semangat membara!!’

 

Saya mengucapkan selamat menghafaz kepada anda. Dan jika ada rakan-rakan yang cuba memesongkan impian menggunung anda dengan kata-kata sinisnya,

 

‘Alahai, bila dah sibuk bekerja ni susahlah nak menghafaz’…

 

tinggalkan sahaja ungkapan berikut kepada mereka :

 

‘Kecantikan kehidupan ialah apabila kita mengambil haluan yang kadang-kala lebih besar daripada apa yang orang lain impikan…’

 

 

===================================.

 

P.s : – Bab ini adalah tambahan kepada ebook kaedahjibril. Untuk memahaminya dengan tepat, anda dinasihatkan membaca ebook kaedahjibril dahulu.

 

 

 

 

.

 

 

Share

Share On :
 

9 Responses so far.

  1. aman says:

    salam ustaz…adakah 10 surah popular tersebut seperti dibawah..mohon dibetulkan
    1.0 Yassin
    2.0 As-Sajadah
    3.0 Ad-Dukhaan
    4.0 Al-Mulk
    5.0 Ar-Rahmaan
    6.0 Al-Kahfi
    7.0 Al-Hasyr
    8.0 Al-Waaqiah
    9.0 Al-Insan
    10.0 Al-Hadiid.
    Terima Kasih

    • Ustaz Asraff says:

      W’salam…semua yg lain betul kecuali kahfi, hasyr & hadid. Gantikannya dgn – jum’ah, muzammil, qiyamah. Tetapi, untuk lebih fleksibel, anda boleh sahajamenghafaz 3 surah yg disnaraikan tadi….syukran

  2. dan says:

    SALAM,USTAZ..10 surah tu yg mana satu,yg perlu ddahulukan?blehkah ustaz susunkannya?

  3. nurizzati says:

    subhanallah ust.bkobar2 sy nk cuba mhafaz.
    doakn sy kuat n dpmudahkn,.syukrn kathir..

  4. bahiyah says:

    Baraka ALLAH fikum ya Ustaz! Perkongsian yg benar2 bermakna :)

  5. M. Imran says:

    Assalamualaikum w.b.t

    Ustaz,

    Terima kasih atas perkongsian kaedah jibril. Alhamdulillah, saya telah berjaya menghafaz 10 surah popular, Juz 29 & 30 menggunakan kaedah ini. Sekarang ini saya sedang berehat 2 minggu untuk mencairkan kesemua hafalan saya seperti yang ustaz sarankan. Terima bebanyak ustaz. Doakan saya, keluaraga & keturunan saya dapat menghafaz dan mengamalkan ajaran al-quran dengan istiqamah ustaz.

    • Ustaz Asraff says:

      Wsalam En Imran..gembira saya membaca kejayaaan tuan…sy doakan usaha ini berterusan ke surah2 lain pula…dan jika tuan perlukan sebbarang bantuan atau ada pertanyaan, sy akan cuba membantu sedaya upaya.

      • M. Imran says:

        Terima kasih ustaz…sekarang ini saya sudah bermula menghafaz juzuk 1..Cuma saya nak betanya, dalam ebook quranology pada bab 4, ustaz telah menceritakan pengalaman ustaz bersolat tarawikh di Masjid Amru Al As, Kaherah, Mesir dipimpin oleh imam muda Arab. Boleh saya tahu siapa nama imam itu?

        • Ustaz Asraff says:

          mohon maaf, sy pun dah terlupa nama imamnya. tapi beliau merupakan imam 2 yg menggantikan Syeikh Jibril di masjid itu